Kamis, 31 Desember 2009

Manaqib Al Maghfurlah Al Habib Ahmad Masyhur bin Taha Al haddad

Al Habib Ahmad Masyhur bin Taha Al haddad adalah salah seorang generasi Alawiyin yang paling berpengaruh di benua Afrika Timur dan biasanya digelar sebagai seorang Mujaddid di sana. Beliau lahir di Kota Qaydun, Hadhramaut pada tahun 1325 H. Beliau dibesarkan di dalam keadaan ilmu dan taqwa oleh ibunya yang salehah Sofiyyah, yang merupakan anak dari Al-Imam Tahir bin Umar Alhaddad.

Pendidikan awalnya kemudian berpindah ke tangan dua orang ulama besar di dalam keluarga Al haddad yaitu Al-Habib Abdullah dan Al-Habib Alawi, dua beradik yang mengasaskan Ribat (Pondok/Pesantren) Qaydun. Al-Habib Ahmad sendiri kemudian menjadi guru di Ribat tersebut dalam usia yang masih muda. Beliau kemudian memasuki Ribat Tareem dan belajar daripada para ulama di sana.
Sesuai dengan ilmu agama yang memerlukan penuntutnya belajar dengan cara bersanad dan ijazah, seperti mana tradisi Ulamak Alawiyin, Al-Habib Ahmad telah mendapatkan ijazah daripada ramai ulama, di Hadhramaut, Hiaz, Indonesia dan Afrika Timur. Syaikh yang paling banyak memberinya kesan dari sudut rohani pula ialah Al-Imam Ahmad bin Muhsin Al haddar.
Awal 1350-an Hijriah, beliau menetap di Mombasa, Kenya. Selain perniagaannya di sana, beliau mengadakan halaqah ilmu di Masjid dan rumahnya. Dengan rahmat Allah beliau menjadi pemimpin, dan seorang tokoh yang disegani di sana. Masyarakat mula berduyun-duyun mendatangi beliau dan mendengar semua pengajiannya. Beliau juga menjadi rujukan utama dalam urusan agama dan Syariah, dan berjaya menentang bid’ah dan mengajak manusia kembali kepada Sunnah.
Beliau juga mengadakan ekspedisi dakwah ke kawasan-kawasan pedalaman Kenya menyeru suku-suku kaum di sana kepada Islam. Namanya mula terkenal di kawasan Afrika Timur dengan gelaran “Habib”.
Pada tahun 1375 H (1955 M) beliau berhijrah ke Kampala, Uganda dan menetap di sana selama 13 tahun. Beliau meninggalkan alam perniagaan dan menumpukan sepenuh masanya untuk mengajar dan menyeru masyarakat kepada Allah. Banyak pemuda Afrika yang belajar dengannya, kemudiannya menjadi Qadi, para guru agama dan pendakwah. Beliau sendiri pergi ke segenap kawasan, hutan mahupun gurun, untuk berdakwah terutamanya di Uganda, Congo, Tanzania dan negara-negara Afrika Timur lain. Beliau berjaya mendirikan banyak Masjid dan sekolah serta mengislamkan ramai penyembah berhala dan Kristian di sana.
Usaha dakwah Habib Ahmad di Kenya dan Uganda telah menyebabkan peningkatan yang begitu besar jumlah ummat Islam. Sebagai seorang guru yang tidak pernah mengenal penat, masyarakat yang inginkan ilmu, barakah atau nasihat berbondong-bondong datang ke rumahnya.
Habib Ahmad Masyhur antara hamba Allah yang benar-benar menghambakan diri sepenuhnya hanya buat Allah. Beliau sentiasa menjaga wirid dan solat sunnah. Tidak pernah beliau gagal untuk bangun menunaikan Qiamullail hatta ketika bermusafir. Beliau meniti jalan nenek moyangnya dan merupakan replika hidup lepada mereka dalam melaksanakan dan menunjukkan bagaimana Sunnah Rasul dihayati.
Setiap gerak geri, kalimah dan senyuman beliau menyegarkan ingatan kita akan kehadiran Rasulullah. Tiada yang melihat wajah beliau melainkan akan mengingati Allah. “Haibah” padanya menyebabkan mereka yang melihat berasa hormat, namun kelembutan dan hormat pada semua, melembutkan hati mereka yang hadir. Mereka akan terlupa segala masalah dan dapat menikmati pengalaman diterima oleh seseorang yang cukup hampir dengan Allah dan Rasul-Nya.
Penghujung hayatnya, Al-Habib Ahmad sering berulang alik dari Afrika ke Makkah dan Madinah. Apabila usianya sudah semakin lanjut, beliau menetap di Jeddah bersama-sama ahli keluarganya. Rumahnya sentiasa terbuka buat para tetamu. Mereka mendapati pada dirinya seorang mursyid sebenar, pembimbing yang ikhlas dan seorang alim yang hebat. Beliau meneruskan amal beliau sehinggalah ajal menjemput beliau pergi menemui Kekasih dalam usianya 87 tahun (6 Disember 1995).
Selain dakwah di bumi Afrika dan anak-anak murid yang menjadi Masyaikh kemudiannya, Al-Habib juga meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dari sudut penulisan. Tulisannya yang paling masyhur berjudul Miftahul Jannah (Kunci Syurga). Moga Allah memberikan kita manfaat dengan beliau, ilmu, rahsia, nafahat, cahaya dan barakah beliau. Amiin.

sumber : pondokhabib.wordpress.com

www.ucapantahunbaru.blogspot.com